bisnes

Pasaran hartanah dijangka pulih

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur : Pasaran hartanah dijangka kembali pulih selari dengan permintaan asas pemilikan rumah masih berdaya tahan berikutan pengukuhan ekonomi yang semakin mengukuh disokong peningkatan perbelanjaan kerajaan dalam infrastruktur.

Pengarah Urusan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, selain itu, pengukuhan pasaran hartanah itu juga disebabkan permintaan domestik yang baik dan keadaan pasaran buruh yang stabil.

Beliau berkata, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) turut menyatakan keyakinan sektor hartanah di Malaysia akan kembali menunjukkan peningkatan pada suku pertama 2018 seiring pertumbuhan ekonomi negara ketika ini.

“Purata pendapatan median isi rumah ditetapkan akan mengukuh selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan langkah serta insentif dalam Bajet 2018, baru-baru ini.

“Jadi, peningkatan pendapatan median akan menyebabkan peningkatan dalam jumlah urus niaga dan rumah mampu milik dengan sambungan yang baik akan terus menjadi permintaan kerana ia adalah segmen paling sihat dalam pasaran hartanah keseluruhannya.

“Tumpuan Mah Sing untuk membangunkan rumah berkualiti dengan harga yang mampu dimiliki rakyat adalah selaras dengan permintaan pasaran dan objektif kerajaan yang luas untuk membolehkan semua orang memiliki rumah,” katanya, semalam.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 3:30am
d