bisnes

Jualan memberangsangkan

Oleh Ayusliza Azizan

Kuala Selangor: Pemaju perbandaran, LBS Bina Group Berhad (LBS) optimis rumah bandar dan rumah teres dua tingkat bagi fasa 1 dan 2 di pembangunan perbandaran terbaharunya, LBS Alam Perdana, Ijok di sini, akan habis dijual hujung tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, ia berdasarkan penjualan memberangsangkan bagi dua pembangunan pertama perbandaran itu iaitu Simfoni Perdana dan Irama Perdana, bulan lalu.

“Sebanyak 349 unit rumah teres dua tingkat bagi fasa 1 yang ditawarkan sudah habis dijual manakala sebanyak 186 unit bagi rumah bandar fasa 1 yang ditawarkan juga sudah 90 peratus terjual.

“Bagi fasa 2 rumah teres dua tingkat, kita menawarkan sebanyak 324 unit rumah dan ia mendapat sambutan baik dalam kalangan pembeli,” katanya ketika ditemui di Galeri Jualan LBS Alam Perdana, Puncak Alam, dekat sini.

Menurut Lim, LBS Alam Perdana turut menyediakan 512 unit rumah bandar untuk Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang bakal dilancarkan khusus untuk kakitangan kerajaan, Januari tahun depan.

Selain itu, katanya, pembangunan komersial dan pembangunan rumah mampu milik di bawah program Rumah Selangorku (RSK) turut dirancang.

Beliau berkata, Simfoni Perdana terdiri daripada 980 unit rumah bandar dua tingkat berharga RM368,000 bagi tingkat atas dan RM388,000 (tingkat bawah) dan setiap unit rumah bandar itu mempunyai kawasan binaan kasar 1,191 kaki persegi dan tiga bilik tidur serta dua bilik air.

Irama Perdana yang terdiri daripada 673 unit rumah teres dua tingkat ditawarkan pada harga menarik bermula daripada RM480,000 dengan setiap unit mempunyai kawasan binaan kasar 1,208 kaki persegi yang dilengkapi empat bilik tidur serta tiga bilik air.

Menurutnya, keistimewaan diskaun sebanyak tujuh peratus ditawarkan kepada Bumiputera.

Katanya, perbandaran yang berkeluasan 190 hektar (470 ekar) itu adalah rangkaian kejiranan yang terancang rapi dan dikelilingi kemudahan yang menggalakkan kehidupan komuniti termasuk ciri keselamatan kawasan berpagar serta mempunyai pengawal keselamatan.

“LBS Alam Perdana juga mempunyai taman lorong belakang, lorong laluan hijau yang menghubungkan setiap unit perumahan yang berperanan mengetengahkan alam dalam kehidupan seharian dan memberi motivasi kepada penduduk untuk mengamalkan gaya hidup aktif.

“Bagi meningkatkan interaksi sosial dalam komuniti, perbandaran ini dilengkapi taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pusat komuniti yang menyediakan gelanggang badminton dalaman, tadika dan perpustakaan awam,” katanya.

Terletak strategik di barat laut Lembah Klang, penduduk LBS Alam Perdana mempunyai akses yang mudah melalui Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan akan datang Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).

LBS Alam Perdana adalah perbandaran ideal untuk didiami dengan mengambil kira lokasi bandar berdekatan seperti Shah Alam, Damansara Perdana, Meru dan Sungai Buloh.

Ia terletak hanya 25 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan hanya 6 km dari kampus UiTM Puncak Alam.

Fasa pembangunan seterusnya merangkumi rumah teres, rumah berkembar, pangsapuri dan unit komersial.

Disiarkan pada: December 2, 2017 @ 3:33am
d