bisnes

49,347 orang Islam guna khidmat Wasiyah Shoppe

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe), pakar pengurusan dan perancangan harta pusaka Islam mengumumkan 49,347 orang Islam di Malaysia menggunakan perkhidmatannya dalam urusan harta pusaka sehingga 1 November lalu.

Pengarah Eksekutifnya Ariffin Sabirin berkata, sambutan baik itu disebabkan kesedaran tinggi mengenai kepentingan perancangan harta pusaka dalam kalangan umat Islam dan pengenalan pelbagai produk dan perkhidmatan inovatifnya.

“Jumlah perunding harta pusaka profesional kami terlatih dan peningkatan pelbagai aktiviti kesedaran menyumbang secara signifikan kepada kejayaan syarikat memperoleh lebih ramai pelanggan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Wasiyyah Shoppe menekankan pembangunan produk dan perkhidmatan perancangan dan pengurusan harta pusaka yang inovatif, tetapi masih dalam ruang lingkup dibenarkan hukum syarak.

Pembangunan produk itu dibantu panel syariah berpengalaman lebih 35 tahun dalam bidang fiqh pewarisan.

“Keperluan umat Islam semakin kompleks dan portfolio semakin rumit menyebabkan proses pengurusan harta pusaka mereka menjadi lebih mencabar.

“Hasrat masyarakat untuk mengurus dan mewariskan aset mereka yang terikat dengan pelbagai akta mustahil dicapai dengan penyediaan wasiat semata-mata kerana kerana fungsinya yang terhad,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 8:42am
d