bisnes

Malaysia setuju lanjut pelarasan pengeluaran minyak

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malaysia bersetuju untuk melanjutkan pelarasan pengeluaran minyak sehingga 31 Disember 2018.

Ini selaras dengan keputusan untuk terus melanjutkan Pengisytiharan Kerjasama bagi tempoh sembilan bulan semasa Mesyuarat di Peringkat Menteri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC ke-3 yang diadakan di Vienna, Austria pada 30 November 2017.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Unit Perancang Ekonomi, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pelanjutan pelarasan pengeluaran minyak diperlukan untuk mengurangkan inventori minyak kepada paras yang lebih berpatutan untuk menyediakan kestabilan dan kemampanan dari segi harga termasuk juga permintaan dan penawaran.

“Saya mewakili Malaysia di dalam mesyuarat di peringkat menteri ini manakala pegawai kanan daripada Petronas dan Unit Perancang Ekonomi menghadiri mesyuarat teknikal sehari sebelum mesyuarat di peringkat menteri.

“Semasa mesyuarat di peringkat menteri, saya juga berkongsi pandangan Malaysia yang bersetuju untuk melanjutkan penyertaan dalam dasar pelarasan pengeluaran minyak.

“Malaysia tidak berminat untuk melihat harga minyak mencecah AS$100 atau lebih setong seperti sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Menurutnya, Malaysia lebih selesa dengan harga minyak yang stabil pada paras yang berpatutan kerana ketidaktentuan harga minyak adalah tidak baik untuk unjuran pendapatan kerajaan Malaysia.

Bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2017, OPEC dan bukan OPEC berjaya mengurangkan paras inventori lebih daripada 600 juta tong minyak.

Berdasarkan anggaran, lanjutan pelarasan pengeluaran ini akan membantu mengimbangkan semula pasaran minyak menjelang hujung 2018. Ini adalah salah satu faktor mengapa harga minyak semakin mengukuh sejak 2016.

Mesyuarat ini juga menandakan ulang tahun yang pertama Pengisytiharan Kerjasama antara negara OPEC dan bukan OPEC yang menyertai kerjasama ini yang ditandatangani pada Disember 2016.

Disiarkan pada: December 4, 2017 @ 8:54am
d