bisnes

Sasaran 50% hujung tahun

Oleh Nur Izzati Mohamad

Batu Kawan: Jumlah pengeluaran dan jualan kenderaan cekap tenaga (EEV) di negara ini diyakini mampu mencapai sasaran sehingga 50 peratus akhir tahun ini berbanding 42.8 peratus tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, mengikut Dasar Automotif Negara 2014 (NAP), kerajaan menyasarkan Malaysia mampu menjadi hab pengeluaran dan jualan kenderaan EEV menjelang tahun 2020.

Beliau berkata, jualan EEV yang menembusi pasaran begitu menggalakkan dengan pembabitan industri mencecah 32.6 peratus pada 2015 bagi menghasilkan kenderaan jimat tenaga berkenaan.

“Tahun lalu EEV mencapai 42.8 peratus daripada jumlah jualan dalam negeri dan kita yakin ia akan meningkat kepada 50 peratus akhir tahun ini.

“Ini kerana, mengikut rekod setakat Oktober lalu, jualan kenderaan EEV membabitkan motosikal dan kereta sudah mencapai 45.6 peratus dan ia begitu memberangsangkan,” katanya selepas Merasmikan Sambutan Ulangtahun ke-60 Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH), semalam.

Menurutnya, kerajaan melihat industri automotif sebagai penyumbang penting dan strategik kepada sektor perkilangan apabila menyumbang RM40 bilion membabitkan 3.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, tahun lalu.

“Bukan itu saja, sektor automotif juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada 600,000 individu termasuk mempunyai lebih 700 vendor, peniaga dan pusat pengedaran,” katanya.

Dalam majlis ulang tahun berkenaan, BSH melancarkan motosikal yang kelima juta dikeluarkan syarikat itu sejak 60 tahun beroperasi.

Sementara itu, Pengerusi BSH, Datuk Seri Loh Cheng Yean komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memperkenalkan lebih banyak model motosikalnya yang mencapai standard EEV.

“Kita sudah memiliki sijil kenderaan EEV dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tahun lalu dan menjadi pengeluar motosikal pertama yang mempunyai model disahkan EEV.

“Pada tahun ini, lima model motosikal syarikat ini iaitu EX5 Fi, Wave 125i, Wave Dash (Fi), Wave Alpha dan BeAT disahkan sebagai motosikal EEV yang mana secara keseluruhannya kita sudah mengeluarkan 75 peratus motosikal mencapai standard EEV,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2017 @ 6:48am
d