bisnes

10 terbaik dunia

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berada di landasan yang betul untuk meningkatkan momentum pertumbuhan kumpulan menerusi Pelan Strategik 2017 hingga 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd berkata, pihaknya juga komited untuk menjadi antara 10 syarikat utiliti terbaik global menjelang 2025.

Katanya, menerusi pelan strategik terbabit, TNB turut meneroka peluang pelaburan dalam projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara maju dan membangun.

“Kami akan meneruskan mencari sumber tenaga baru bagi masa hadapan dan perluasan ke peringkat global ini bakal mendorong TNB untuk terus fokus dalam pertumbuhan utama di pasaran Asia Tenggara, Asia Selatan dan Timur Tengah, termasuk pasaran di negara yang kami lihat berpotensi untuk memberi nilai kepada portfolio pendapatan TNB.

“Kami juga menyasarkan sumbangan hasil daripada RE meningkat 30 peratus menjelang 2025 berbanding 10 peratus pada masa ini yang mana 90 peratus adalah daripada sumber konvensional,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Kewangan TNB Datuk Fazlur Rahman Zainuddin.

Azman berkata, mengenai perbelanjaan modal berulang (Capex) 2018, TNB cenderung menanggung antara RM6 bilion hingga RM7 bilion setahun untuk grid pengagihan penghantaran manakala capex tambahan sehingga RM3.5 bilion akan diperuntukkan bagi kapasiti penjanaan termasuk RE.

Ditanya sama ada TNB menjual sahamnya di Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Fazlur Rahman berkata, setakat ini syarikat itu tidak membuat sebarang keputusan mengenainya dan TNB masih dalam perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 6:22am
d