bisnes

Alibaba terima 330 penyertaan PKS

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Alibaba Group (Alibaba) menerima penyertaan lebih 330 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia melalui program latihan e-dagang B2B kendaliannya yang diadakan di sembilan bandar seluruh negara sepanjang dua minggu lalu.

Pengarah Projek eWTP Malaysia B2B, Terry Jiang berkata, program itu satu lagi langkah besar untuk meningkatkan daya saing PKS melalui pembinaan platform penyelesaian sehenti yang baru dilancarkan di Malaysia bagi memudahkan perniagaan antara PKS di China dan Malaysia serta global.

“Latihan untuk menggunakan platform ini akan membolehkan syarikat PKS tempatan membeli dan menjual di peringkat global dengan kaedah yang lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Program ditawarkan Alibaba Business School ini bertujuan melengkapkan PKS tempatan dengan pengetahuan dan peralatan yang diperlukan bagi mencapai pasaran global dan ia usaha terkini bagi projek Platform Perdagangan ELektronik Alibaba (eWTP) di Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia (DFTZ).

Program itu memberi fokus kepada PKS tempatan daripada pelbagai industri seperti makanan, perabot, kosmetik dan pembinaan jentera dan ia mendapat sokongan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Hab eWTP Malaysia diperkenalkan pada Mac lalu bagi menawarkan infrastruktur menjalankan perdagangan menyeluruh terdiri daripada e-dagang, logistik, pengkomputeran ‘awan’, pembayaran mudah alih dan latihan bakat kepada PKS tempatan.

Beliau berkata, latihan kepada bakat tempatan adalah fokus utama eWTP untuk memastikan ekosistem perniagaan yang mampan

“Selain latihan e-dagang, Alibaba Business School menawarkan pelbagai kursus e-dagang B2B kepada lebih 1,000 pelajar universiti di Malaysia dan menyelesaikan latihan kepada hampir 140 ahli fakulti universiti tempatan di bawah inisiatif Train the Trainers,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 7:22am
d