bisnes

Kajian semula NAP bakal muktamad Jun 2018

Oleh Nursyahirah Marzuki

KAJIAN semula mengenai Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada separuh pertama tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari berkata, pihaknya diminta mengkaji semula dasar berkenaan termasuk meluaskan skop pelaksanaannya kepada kenderaan jenis komersial seperti bas.

"Ketika ini, kajian sedang dilaksanakan secara menyeluruh dan kita bukan hanya perluaskan aspek NAP kepada kenderaan jenis komersial tetapi merangkumi pelbagai aspek mobiliti lain.

"Malah, sekiranya kajian ini dapat dilaksanakan dengan baik, kita berharap NAP baru akan dimuktamadkan sebelum ia dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada separuh pertama 2018," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi anjuran MAI dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Cyberjaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) Kementerian, Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Pengerusi MAI Datuk Phang Ah Tong.

Dalam pada itu, Madani berkata, sejak NAP diperkenalkan pada 2014 sehingga September lalu, harga kenderaan cekap tenaga (EEV) mencatatkan pengurangan sebanyak 13.1 peratus.

"Malah, sehingga November lalu sebanyak 105 model kenderaan EEV iaitu kenderaan hibrid dan elektrik diperkenalkan berbanding 86 model pada tahun lalu.

"Selain itu, menerusi pelaksanaan NAP, kerajaan turut memberi insentif kepada pengeluar kenderaan yang mengeluarkan model kereta jenis EEV dalam bentuk pengurangan cukai dan kelebihan itu diberikan semula kepada pengguna," katanya.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan kereta jenis EEV akan mewakili 60 peratus daripada jumlah penjualan kereta tahun depan berbanding 45 peratus ketika ini.

"Sasaran penjualan model kereta jenis EEV pada akhir tahun ini iaitu sebanyak 50 peratus mampu dicapai memandangkan hampir semua syarikat pengeluar kereta mengeluarkan kenderaan jenis EEV untuk model baru mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, harga kenderaan di Malaysia juga dijangka kekal kompetitif selari dengan kehendak pengguna yang mementingkan aspek keselamatan, keselesaan dan impak kepada alam sekitar.

"Sebagai contoh harga Perodua Axia adalah RM25,800 dan ia antara termurah di dunia. Kenderaan ini juga adalah jenis EEV dan mempunyai ciri-ciri keselamatan serta keselesaan yang memenuhi kehendak pengguna.

"Ini adalah antara aspek yang perlu kita lihat, bukan hanya pada harga murah tetapi ia harga kompetitif sesuai dengan faktor keselamatan, keselesaan dan impak kepada alam sekitar juga diambil kira," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2017 @ 3:10pm
d