bisnes

Tepati jadual

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Mulia Property Development Sdn Bhd (Mulia) berada dalam landasan tepat untuk melengkapkan pembinaan bangunan Exchange 106 menjelang suku kedua 2018 dengan penyewa akan mula memasuki bangunan itu menjelang suku ketiga tahun depan.

Sehingga kini, syarikat itu berjaya melengkapkan struktur bangunan ikonik yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX) itu apabila siapnya dinding teras konkrit bertetulangnya, baru baru ini.

Pengarah Projek Mulia, Roland Suckling berkata, bahagian atas struktur bangunan itu kini sudah berada 450 meter di atas tanah dan ia dijangka melebihi ketinggian Menara Berkembar Petronas tidak lama lagi dengan strukturnya akan diakhiri dengan mahkota kaca yang diterangi LED.

“Apabila ia siap pada 2018, Exchange 106 terdiri daripada 106 tingkat dan lapan tingkat bawah tanah dengan ketinggian 492.3 meter, sekali gus menjadi bangunan tertinggi di Malaysia dan ASEAN serta berada dalam kedudukan 15 teratas di dunia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bangunan Exchange 106 dimiliki dan dibangunkan Mulia iaitu subsidiari kepada syarikat Indonesia terkenal, Mulia Group of Indonesia.

Kumpulan Mulia terkenal di peringkat antarabangsa untuk membangun dan menguruskan hartanah mewah premium dengan pelbagai anugerah antarabangsa termasuk pejabat premium seperti Wisma Mulia dan Wisma Mulia 2, Hotel Mulia Senayan, Mulia Bali Resort dan Taman Anggrek Mall dan Kondominium.

Beliau berkata, Exchange 106 memasuki fasa perhatian utama dalam tempoh 12 bulan lalu, sekali gus menetapkan penanda aras industri untuk kaedah kerja, kualiti bahan dan paling ketara adalah kepantasan di mana ia berkembang.

“Kerja tidak perlahan sejak Mei 2016 apabila asas konkrit dituang secara berterusan sepanjang minggu, sekali gus menjadikan ia sebagai kerja menuang konkrit berterusan kedua terbesar di dunia dan paling menarik ia meningkat dan proses kerja menjadi lebih cekap dan teratur,” katanya.

Exchange 106 akan menampilkan siling tinggi yang dikemaskan dalam kayu English Burl, lantai marmar dan dinding berkualiti tinggi di lobi dan kawasan umum serta plat lantai pejabat besar sehingga 34,000 kaki persegi dengan jarak panjang direka untuk susun atur yang fleksibel dan konfigurasi pelan dalaman terbuka.

Dengan pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan status MSC, Exchange 106 menawarkan beberapa teknologi dalam bangunan termasuk gelas terlindung berprestasi tinggi, sistem MEP cekap tenaga, pencahayaan LED 100 peratus dan teknologi lif.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 4:29am
d