bisnes

The Rift RM20j

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Adventuria Sdn Bhd (Adventuria), pemilik pusat hiburan keluarga untuk permainan pengembaraan realiti maya (AV) dan berperantara (AR), The Rift menyasarkan 500,000 pengunjung setahun.

Pusat hiburan yang berkeluasan 40,000 kaki persegi itu terbesar di Asia Tenggara dalam segmen pusat hiburan AV dan AR serta memiliki lebih 30 permainan dunia maya.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusannya, Datuk Simon Foong berkata, The Rift yang dibuka di pusat beli-belah Mid Valley Megamall mempunyai nilai pelaburan mencecah RM20 juta.

Beliau berkata, pusat hiburan itu yang pertama di Malaysia dan rantau Asia Tenggara menjadi perintis untuk Adventuria meluaskan rangkaiannya di rantau berkenaan.

“Kita sudah memutuskan untuk membuka cawangan kedua The Rift di Johor Bahru pada tahun depan dan beberapa cawangan lain di rantau Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Pembukaan The Rift terbesar ini turut memberi peluang kepada Malaysia menjadi hab pelancongan dalam aktiviti e-sukan kerana kita tahu permainan digital ketika ini semakin berkembang serta mendapat perhatian dari seluruh dunia,” katanya selepas majlis pratonton The Rift kepada wakil media di sini, semalam.

Sempena prapelancaran berkenaan, Adventuria menwarkan harga promosi pembukaan bagi Pakej The Rift iaitu RM98 seorang yang merangkumi 10 tarikan dan Zero Latency. Pakej Exit Reality pula dijual pada harga RM55 seorang yang menawarkan 10 tarikan saja.

Zero Latency adalah permainan menembak realiti maya perantauan bebas yang memberi peluang kepada pemain untuk mencuba tiga situasi permainan berbeza iaitu peperangan zombi, menyelamatkan angkasa lepas dan peperangan TerminatorX.

Simon berkata, buat penggemar aktiviti lasak pula, mereka boleh mencuba The Leap iaitu permainan lompatan bungee tertutup dan permainan pengembaraan penerbangan 360 darjah di dunia maya, Hurricane VR.

“Pengunjung turut ditawarkan permainan perlumbaan kereta di Race Room iaitu simulator perlumbaan kereta yang canggih dengan kesan bunyi serta visual yang realitistik,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2017 @ 8:55am
d