bisnes

MD Foodstuff perluas 20 cawangan baru

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: MD Foodstuff Sdn Bhd, pengendali rangkaian MD Putu Bambu World merancang untuk memperluaskan operasi perniagaannya dengan membuka 20 cawangan baru pada tahun depan.

Pengarah Urusannya, Karim Atan berkata, pelan perancangan terbabit adalah sebagai usaha dalam merealisasikan tujuan utamanya untuk membuka 100 cawangan baru dalam tempoh tiga tahun lagi.

Beliau berkata, setakat ini usahawan yang juga francaisor kepada kuih putu bambu itu memiliki 40 cawangan di mana 30 daripadanya adalah usahawan trak makanan manakala baki 10 adalah usahawan kios.

“Selepas fokus kepada pengembangan pasaran tempatan, kita jangkakan produk putu bambu pandan mampu ke pasaran luar negara selepas itu.

“Ketika ini, kita dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengetahui cara bagaimana mahu memanjangkan tempoh hayat kelapa yang digunakan,” katanya ketika ditemui pada majlis serah kunci trak dan outlet kepada 40 francaisi MD Putu Bambu di sini

Mengulas mengenai operasi syarikat, Karim berkata, pihaknya turut memperuntukkan pelaburan sebanyak RM9 juta bagi membuka kilang pengeluaran barunya menjelang 2019.

Menurutnya, kilang baru yang terletak di Sepang, Selangor itu kini sudah 85 peratus siap dan mampu untuk menampung pengeluaran bagi kapasiti 150 cawangan apabila sudah mula beroperasi kelak.

Mengenai peluang perniagaan di bawah jenama MD Putu Bambu World, beliau berkata, pihaknya menyediakan tiga pakej perniagaan rakan niaga bermula dengan modal serendah RM30,000 iaitu konsep kios indoor, outdoor dan bergerak (trak makanan).

“Kos RM30,000 itu termasuk latihan selama enam bulan, yuran francaisi dan kos berkaitan. Jadi ia amat berpatutan dan mampu menjana pulangan yang lebih memberangsangkan.

“Malah, konsep perniagaan francais amat bersesuaian dengan usahawan baru yang tidak mempunyai pengalaman dan baru ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan kerana risiko perniagaan yang rendah,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2017 @ 9:06am
d