bisnes

Tingkat kemahiran graduan Widad

Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Widad Business Group menerusi anak syarikatnya, Widad Education Sdn Bhd (Widad Education) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama empat entiti berkaitan pendidikan dan industri dalam usaha untuk meningkatkan tahap kemahiran graduan Widad University College dan Widad College.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar berkata, perjanjian berkenaan bertindak sebagai langkah strategik kumpulan untuk kekal berdaya saing sebagai institusi pengajian tinggi pilihan bagi melahirkan graduan yang memenuhi kehendak dan keperluan industri.

“Dengan kolaborasi ini, kita berupaya mendedahkan pelajar kepada pengalaman industri sebenar dan tidak hanya bergantung kepada kelas teori semata-mata.

“Pada masa sama, ia juga dapat memberi tambah nilai kepada pelajar di samping meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis MoU, di sini.

Widad Education menandatangani Mou bersama empat entiti termasuk Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM), Majlis Sukan Pahang (MSP), Sewing World Gallery dan Dagang Halal Sdn Bhd.

Mohd Rizal berkata, sehingga kini terdapat antara 10 hingga 15 organisasi yang terbabit dalam MoU berkenaan selain bercadang untuk menambah rakan strategik dalam tempoh tertentu.

Tambahnya, kerjasama untuk tempoh tiga tahun berkenaan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang agar dapat menyediakan tempat latihan praktikal terbaik untuk bakal graduannya.

Hadir sama, Naib Canselor Widad University College, Majar Jeneral Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin dan Ketua Eksekutif Widad College, Norhisyam Abd Rahman.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 9:17am
d