bisnes

Biaya RM9.5 bilion segmen pertanian

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur:Agrobank merekodkan pertumbuhan memberangsangkan bagi 2017 dengan nilai pembiayaan keseluruhan RM9.5 bilion, dengan peningkatan 8.4 peratus setakat November 2017.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Masaat Awadz berkata, peningkatan pembiayaan pertanian meningkat seiring dengan pertambahan pasaran dan permintaan untuk pengeluaran pertanian serta industri asas tani.

Beliau berkata, Agrobank kekal menerajui pembiayaan untuk sektor agromakanan dengan catatan pertumbuhan sehingga 12.9 peratus dengan nilai keseluruhan bernilai RM3.5 bilion berbanding RM3.1 bilion tahun lalu.

“Pencapaian cemerlang ini seiring dengan komitmen Agrobank yang proaktif dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang relevan dan bersesuaian dengan keperluan pelanggan terutamanya komuniti agro berasaskan makanan.

“Dalam apa jua keadaan ekonomi, akan terus ada permintaan untuk makanan serta prospek untuk pertanian dan agromakanan untuk terus meningkat,” katanya.

Masaat berkata, sektor agromakanan menyumbang RM36.5 bilion atau tiga peratus kepada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Sementara itu, Agrobank memperkenalkan pusat pembiayaan khusus untuk kawasan wilayah agro yang strategik dalam memenuhi permintaan dalam perniagaan agro yang meningkat pada 2017.

“Konsep Pusat Pembiayaan adalah untuk mewujudkan pusat yang memberi pengkhususan pembiayaan kepada dua jenis pembiayaan iaitu komersial dan korporat.

“Untuk pembiayaan komersial, Agrobank menawarkan pembiayaan bernilai RM51,000 sehingga RM10 juta, manakala untuk pembiayaan korporat kami menawarkan pembiayaan bernilai lebih RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata, Agrobank sentiasa menyokong hasrat kerajaan mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap makanan import.

“Setakat ini, rekod positif ditunjukkan untuk segmen agromakanan memberikan keyakinan kepada kami untuk terus memberikan penekanan kepada segmen ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 9:28am
d