bisnes

Strategi jual 50,000 unit

Oleh Lizam Ridzuan

Shah Alam: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menyasarkan sebanyak 50,000 unit jualan motosikal jenama itu bagi tahun 2018.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirudin Abd Kadir berkata, pengenalan beberapa model baru bakal memberikan impak positif kepada Modenas untuk bersaing dalam pasaran motosikal tempatan.

“Kini kami fokus kepada penjualan motosikal street berbanding moped seperti Pulsar RS200, NS200 dan V15 yang mendapat sambutan memberangsangkan pengguna tempatan,” katanya yang ditemui ketika acara Gempak Santai Modenas.

Tambahnya lagi, antara model menarik yang bakal menjengah pasaran tempatan pada suku pertama tahun ini ialah Dominar 400 hasil kerjasama strategik antara Bajaj Auto Ltd (BAL) pengeluar motosikal terbesar di India.

Model berkonsepkan Sports Tourer itu dilancarkan di India pada hujung tahun 2016 dikuasakan dengan enjin 373cc DTS-i empat lejang satu silinder sesuai untuk kegunaan harian atau hujung minggu.

Tambahnya lagi dengan model baru lain bakal dilancarkan yang mempunyai ciri menarik dan harga berpatutan mereka menjangkakan dapat menguasai sehingga 12 peratus perkongsian pasaran untuk 2018 berbanding 8 hingga 9 peratus sebelum ini.

Selain itu, perkembangan terkini kilang pemasangan motosikal Bajaj di Gurun, Kedah yang berperanan sebagai hab untuk Asia Tenggara berjalan seperti dirancang dan bakal memulakan operasi awal tahun ini untuk pasaran Kemboja, Thailand dan Vietnam.

Kerjasama ini memberi manfaat kepada vendor tempatan dan pengguna dengan penyediaan siri pemasangan tempatan (CKD), tawaran pelbagai model motosikal yang menarik serta kos alat ganti yang berpatutan.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 8:47am
d