bisnes

ZIMB pindah perniagaan insurans am kepada ZGIMB

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Zurich Insurance Malaysia Berhad (ZIMB) memindahkan perniagaan insurans amnya kepada entiti yang baru ditubuhkan iaitu Zurich General Insurance Malaysia Berhad (ZGIMB) berkuatkuasa 1 Januari 2018.

ZGIMB ditubuhkan bagi mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di mana penanggung insurans komposit dikehendaki mengasingkan perniagaan insurans hayat dan insurans am di bawah entiti yang berbeza.

ZIMB dalam kenyataan berkata, pemindahan terbabit merangkumi pekerja, aset dan liabiliti, pengedar (ejen dan broker) dan kontrak di bawah perniagaan insurans am.

Penyedia insurans itu, David Fike, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Presiden Insurans Am ZIMB kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ZGIMB.

“Tiada sebarang perubahan terma dan syarat bagi polisi insurans am yang dikeluarkan oleh ZIMB.

“Bermula 1 Januari, semua tuntutan insurans dibawah polisi insurans am yang baru mahupun sedia ada akan dikendalikan sepenuhnya oleh ZGIMB,” katanya.

Sejajar dengan struktur dan skop baru syarikat serta bagi mengelakkan kekeliruan kepada pelanggan, ZIMB kini dikenali sebagai Zurich Life Insurance Malaysia Berhad (ZLIMB) dengan Philip Smith kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan.

Perubahan nama syarikat ini tidak menjejaskan manfaat dan peruntukan di bawah polisi insurans hayat ZIMB yang sedia ada.

Kedua-dua ZGIMB dan ZLIMB akan terus beroperasi melalui gabungan rangkaian cawangan di 40 lokasi di seluruh negara dan pelanggan akan terus menerima perkhidmatan berkualiti dan profesional daripada ejen dan broker ZGIMB dan ZLIMB.

Disiarkan pada: January 3, 2018 @ 9:03am
d