bisnes

TEKUN Nasional kutip RM554.6 juta

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) optimis mampu mencatatkan prestasi positif pada tahun ini melalui fokus terhadap penyaluran pembiayaan bagi usahawan yang menjalankan perniagaan berisiko rendah namun menjana pulangan tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baharom Embi berkata langkah itu dilihat sangat berkesan dalam mengumpulkan pembayaran balik pembiayaan usahawan di mana ia terbukti apabila TEKUN Nasional mencatatkan jumlah pengumpulan pembayaran balik sebanyak RM554.6 juta melebihi daripada sasaran ditetapkan iaitu RM540 juta pada tahun lalu.

Prestasi pembayaran balik yang positif ini akan membolehkan TEKUN Nasional memberikan pembiayaan kepada lebih ramai usahawan mikro yang memerlukan.

Menurutnya, TEKUN Nasional juga akan memberi fokus kepada Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN bagi membantu usahawan mikro tempatan lebih berdaya saing dan maju dalam perniagaan masing-masing.

“Strategi kami ini diyakini mampu melahirkan usahawan berkualiti tinggi yang memiliki potensi perniagaan baik dan komitmen dalam melakukan pembayaran balik pembiayaan, sekali gus bakal menyumbang kepada prestasi positif TEKUN Nasional pada tahun ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, TEKUN Nasional sudah melakukan transformasi sejak tiga tahun lalu dengan fokus membangunkan produk pembiayaan yang boleh digunakan oleh usahawan namun tidak menawarkan risiko yang tinggi dan memberi impak kepada kadar pembiayaan tidak berbayar (NPF).

Skim Pembiayaan TEMAN TEKUN adalah salah satu inisiatif TEKUN yang menggunakan konsep berkumpulan bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan dengan lebih mudah, cepat dan efisien.

Ia menawarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM1,000 hingga RM10,000 dan RM20,000 bagi pembiayaan seterusnya di mana skim terbabit mewajibkan setiap usahawan dalam kumpulan itu melakukan pembayaran balik secara konsisten.

“Pendekatan kami dalam memilih perniagaan berisiko rendah dan melaksanakan skim seumpama ini dilihat membantu kami dalam mengawal kadar NPF yang berada dalam keadaan baik pada tahun lalu berbanding 2016,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 9:53am
d