bisnes

Sasar jualan RM1 bilion

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: NSK Trade City Sdn Bhd membuka cawangannya yang ke-19 di Kota Damansara seluas 230,000 kaki persegi.

Penasihat Eksekutif Kumpulan NSK Datuk C S Lim berkata, pihaknya memperuntukkan pelaburan RM10 juta untuk membuka cawangan baru itu.

Katanya, bagi tahun ini kumpulan mempunyai rancangan membuka empat cawangan di lokasi terpilih sekitar Lembah Klang, Seremban dan Johor.

“Sejak cawangan pertama NSK dibuka di Kuala Lumpur pada 1988, kami hanya fokus menjual produk segar pada harga berpatutan dan dengan pembukaan rangkaian baru ini, kami yakin dapat memberi pelanggan produk serta barangan segar pada harga borong.

“Kami mengintai peluang meluaskan pasaran di utara dan timur Semenanjung,” katanya selepas majlis pelancaran cawangan NSK Kota Damansara di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah NSK Holdings Sdn Bhd, Datuk Chiew Lian Keng dan Pengerusi Eksekutif NSK Trading Sdn Bhd, C B Lim.

Lim berkata, Kota Damansara dipilih sebagai lokasi cawangan baru kerana populasinya yang ramai dan banyak kedai dibuka di kawasan berhampiran.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengekalkan momentum jualan seperti tahun lalu apabila kumpulan merekodkan jualan kira-kira RM1 bilion disumbangkan daripada 18 rangkaiannya.

“Fokus utama kami adalah menyediakan produk terbaik dan segar kepada orang ramai pada harga mampu beli dan kami percaya jika pelanggan memperoleh produk berkualiti pada harga borong ia dapat merangsang jualan,” katanya.

Sempena pembukaan cawangan baru NSK, pihaknya menawarkan harga promosi untuk pelbagai barangan termasuk RM1 bagi seekor ayam kepada 2,000 pelanggan pertama dan RM1 bagi beras lima kilogram untuk ahli NSK.

Operasi NSK Kota Damansara dibuka bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 1:47am
d