bisnes

UKM tawar kampus digital

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Bangi: Maxis Berhad bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan perkhidmatan WiFi Maxis di 13 fakulti UKM seterusnya menjadikan UKM sebagai universiti pertama menawarkan kampus digital di Malaysia.

Ketua Produk Perusahaan Maxis Shanti Jusnita Johari berkata, perkhidmatan itu memberi manfaat kepada 30,000 pelajar UKM khususnya dalam aspek penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.

“Selain pelajar, kemudahan disediakan memudahkan urusan pentadbiran 10,000 kakitangan UKM meliputi beberapa institut penyelidikan di seluruh negara,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Maxis dan UKM di sini.

Hadir sama Pengerusi Maxis Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Menurutnya, kerjasama Maxis dan UKM itu dijalankan untuk tempoh tiga tahun sejak 2016 dan ia tidak terhad kepada penawaran sambungan Internet saja.

“Dalam tempoh ini, pelajar UKM berpeluang menjalankan latihan industri dan penyelidikan dengan Maxis.

“Ia sebahagian persediaan UKM memastikan graduan bersedia berdepan revolusi perindustrian 4.0 yang ternyata berbeza dengan industri semasa,” katanya.

Noor Azlan berkata, kerjasama dengan Maxis memberi manfaat besar kepada pelajar dan kakitangan UKM kerana ketika ini semua urusan berkaitan pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

“Sambungan Internet sangat penting untuk pelajar UKM kerana proses pembelajaran termasuk kerja kursus dilakukan secara dalam talian.

“Ketika ini, kami mencatatkan 12,000 permintaan sesaat melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran Berasaskan Portfolio yang dibangunkan Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran (CTELT) UKM dikenali sebagai iFolio,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 12:41am
d