bisnes

Tesco komited

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tesco Malaysia akan membuka dua cawangan baru bagi tahun kewangan 2018/2019 dengan lokasi pilihan di Kota Masai, Johor dan Bagan Ajam, Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Paul Ritchie berkata, biarpun berdepan dengan tahun yang mencabar pada 2017 namun pihaknya komited memenuhi keperluan pelanggan dengan membuka rangkaian baru.

Katanya, tahun lalu pihaknya turut membuka dua cawangan baru iaitu di Bertam, Pulau Pinang dan Parit Raja, Johor serta menambahbaik empat cawangan utama di Kota Bharu, Extra Penang (e-Gate), Tanjung Pinang dan Setia Alam.

“Mengikut jadual, kami akan menambah baik dua lagi cawangan Tesco iaitu di Bukit Indah dan Shah Alam menjelang Februari ini.

“Tesco Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan pelanggan mendapat barang keperluan pada harga berpatutan dan menerusi cawangan baru ini kami harap ia memberi pengalaman membeli-belah yang lebih baik,” katanya di majlis pelancaran Kempen Magic Of Ong 2018 di sini, semalam.

Hadir merasmikan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sempena kempen Magic Of Ong 2018, Tesco Malaysia menawarkan pelbagai harga promosi termasuk baucar Tesco bernilai lebih RM500,000 melalui peraduan dalam talian.

Pelanggan boleh melayari www.tesco.com/ongmali untuk mendaftar dan 228 pemenang akan dipilih bagi memenangi baucar Tesco bernilai RM2,000.

Pemenang akan dipilih secara rawak setiap minggu bermula 15 Januari hingga 4 Februari ini.

Selain itu, 11 pelanggan bertuah yang mendaftar berpeluang memenangi baucar tambahan bernilai RM4,000 apabila kod mereka terpilih pada ‘Lucky Day’.

Sementara itu, Hamzah berkata, orang ramai boleh memuatnaik aplikasi Price Catcher di telefon pintar untuk mendapatkan maklumat harga yang ditawarkan oleh pasar raya besar terbabit.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 12:47am
d