bisnes

Shopee catat dagangan RM20b tahun lalu

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Shopee merekodkan dagangan kasar (GMV) bernilai AS$5 bilion (RM20.05 bilion) tahun lalu yang disumbangkan dari tujuh pasaran di rantau Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Serantaunya Ian Ho berkata, bagi 2018 pihaknya menjangka memperoleh GMV yang lebih baik menerusi promosi dijalankan sepanjang tahun.

Katanya, Shopee sentiasa bekerjasama rapat dengan usahawan dan jenama yang memasarkan produk menggunakan platformnya.

“Sejak 2015, Shopee berkembang ke Malaysia, Thailand, Taiwan, Indonesia, Vietnam serta Filipina. Malah, negara ini menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke masa.

“Shopee dilihat sebagai aplikasi nombor satu yang sentiasa dimuat turun dan kami berharap perkembangan ini berterusan sekali gus memberi pengalaman beli-belah dalam talian terbaik kepada masyarakat di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Wang Bersama Shopee sempena Tahun Baru Cina di sini, semalam.

Ho berkata, pihaknya mengalu-alukan usahawan baru memasarkan produk mereka di Shopee dan untuk Malaysia saja, pihaknya mempunyai lebih 200,000 penyertaan usahawan dengan pelbagai produk dijual.

Menurutnya, setakat ini lebih kurang lima juta pengguna memuat turun aplikasi Shopee.

Beliau berkata, Shopee berusaha meningkatkan kualiti hidup pengguna dan perniagaan di rantau ini menerusi teknologi serta menyediakan pengalaman beli-belah yang mudah, pantas dan boleh dipercayai.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 12:02am
d