bisnes

Peruntuk RM700j

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) memperuntukkan kira-kira RM700 juta pembiayaan fasiliti Islamik bagi pembinaan lapan projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, sebelum ini MBSB membiayai sembilan projek RUMAWIP di seluruh Lembah Klang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.66 bilion.

Katanya, RM594.85 juta pembiayaan diluluskan bagi sembilan projek terbabit yang terdiri daripada 5,768 unit perumahan RUMAWIP.

“Manakala, nilai pembiayaan RM355 juta bagi projek RUMAWIP dengan anggaran GDV RM1.12 bilion untuk membangunkan 1,336 unit masih dalam proses.

“Kami ingin meningkatkan fokus kami dalam segmen perumahan mampu milik dan setakat ini, komitmen kami membuahkan hasil dan MBSB akan terus memainkan peranan yang penting ini,” katanya di majlis perasmian penyempurnaan perjanjian antara MBSB dan Hektar Aneka Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengarah Hektar Aneka Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Ahmad Zaini berkata, MBSB turut menawarkan pembiayaan fasiliti Islamik berjumlah RM161.3 juta bagi pembinaan projek RUMAWIP Residensi Hektar di Jalan Gombak.

Menurutnya, MBSB juga menyediakan pembiayaan kepada bakal pembeli projek terbabit dengan pakej perumahan yang menarik.

Ditanya mengenai unjuran segmen hartanah dan MBSB, beliau berkata, pihaknya menjangkakan pasaran akan kekal mencabar dan MBSB akan terus menjadi pembiaya utama serta memberi fokus kepada projek perumahan mampu milik.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 12:15am
d