bisnes

Ekuinas lupus ekuiti Tenby

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) mengumumkan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuitinya yang berjumlah 100 peratus dalam Tenby Education Group (Tenby) kepada International Schools Partnership (ISP).

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, pihaknya berpuas hati selepas lapan tahun beroperasi, inisiatif pelupusan mereka sedang berkembang pesat untuk mempercepatkan proses merealisasi pelaburan kumpulan.

“Masa dan iklim ekonomi adalah bersesuaian bagi kami melupuskan Tenby kerana ia membolehkan Ekuinas menjana pulangan yang positif untuk mengekalkan prestasi dana terbabit.

“Melalui pelupusan ini, Ekuinas akan menampung kos pelaburan asalnya dan menjana pulangan positif sebanyak 45.7 peratus bersamaan 2.5 kali modal dilaburkan, termasuk dividen yang sudah diterima,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Ekuinas Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, pelupusan itu dilaksanakan selaras dengan strategi pelaburan berhemat Ekuinas untuk memastikan pulangan positif.

Tenby yang ditubuhkan di Ipoh pada 1960 adalah kumpulan pendidikan swasta terkemuka di Malaysia yang menawarkan kurikulum kebangsaan dan antarabangsa swasta di enam kampusnya di Ipoh, Pulau Pinang, Miri, Setia Alam, Johor Bahru dan Semenyih.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 12:52am
d