bisnes

Pusat Kualiti SkyWorld lambang era baru hartanah

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: SkyWorld Development Group (SkyWorld) memperkenalkan Pusat Kualiti SkyWorld yang berperanan hab penanda aras kualiti bagi semua pembangunan hartanah yang dilaksanakan syarikat pemaju berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan SkyWorld Datuk Ng Thien Phing berkata, pusat kualiti itu yang pertama seumpamanya di negara ini yang turut melambangkan era baru bagi sektor hartanah di Malaysia.

Beliau berkata, projek yang menelan kos hingga RM3.8 juta dan seluas 13,000 kaki persegi itu terletak dalam kawasan SkyArena Setapak dan ia berfungsi untuk memberi pendedahan dan kesedaran mengenai kualiti sesebuah projek rumah kepada bakal pembelinya.

“Inisiatif untuk melancarkan pusat kualiti ini membuktikan komitmen SkyWorld terhadap kepentingan pengukuran kualiti seperti Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (QLASSIC) dan CONQUAS dalam setiap projeknya serta projek hartanah yang lain.

“Dengan adanya pusat seperti ini, kami dapat membantu orang ramai mengenal pasti kualiti yang tidak dapat diketahui dengan hanya pandangan visual.

“Label penting akan turut disertakan bersama penerangan menggambarkan keperluan kualiti sesuatu rumah di samping tutorial video yang komprehensif,” katanya pada majlis pelancaran Pusat Kualiti SkyWorld di sini, semalam.

SkyWorld antara pemaju penyumbang terbesar kepada projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan siri rumah mampu miliknya, SkyAwani yang memenuhi piawaian QLASSIC.

Hadir sama merasmikan pusat kualiti itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 1:21am
d