bisnes

Anjur lebih perbincangan dengan PKS

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengadakan lebih banyak perbincangan dan siri pertemuan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk syarikat permulaan, universiti dan institusi penyelidikan yang mempunyai harta intelek (IP) bagi membantu mereka mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Ketua Setiausaha Perbendaraan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, kebanyakan PKS yang mempunyai IP tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan pembiayaan bagi melindungi IP mereka dan kerajaan akan membantu mereka mendapatkan pembiayaan sewajarnya.

“Institusi penyelidikan, universiti dan syarikat permulaan adalah antara yang banyak menghasilkan IP namun, mereka agak sukar untuk berkembang dan meningkatkan perniagaan kerana kekurangan dana.

“Melalui Skim Jaminan Harta Intelek (SJHI) yang dikendalikan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), kita akan membantu syarikat ini dengan peruntukan yang disediakan selain membantu mereka menyiapkan diri sebelum berdepan dengan institusi kewangan.

“Melalui SJHI, kerajaan memberikan jaminan sehingga 80 peratus berbanding skim lain dengan jaminan 70 peratus,” katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Prinsipal SJPP, Dr Nungsari Ahmad Radhi.

Dalam Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM9 bilion di bawah SJPP untuk PKS melalui lima skim.

Ia adalah Lanjutan Skim Jaminan Modal Kerja (SJMK) sedia ada dengan tambahan RM5 bilion; SJMK sedia ada untuk syarikat permulaan (RM200 juta) dan Lanjutan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan (SJSP) sedia ada dengan tambahan RM2 bilion.

Kerajaan turut menawarkan dua skim baru tahun ini iaitu Skim Jaminan Proses Automasi (SJPA) sebanyak RM1 bilion dan SJHI (RM1.5 bilion).

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 1:45am
d