bisnes

Lonjak KLIC jadi Silicon Valley Timur

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Catcha Group, pemaju utama Kuala Lumpur Internet City (KLIC) akan mengumumkan beberapa pelaburan bernilai tinggi yang akan membantu melonjakkan Malaysia menjadi Silicon Valley Timur, kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Patrick Grove.

Beliau membayangkan Catcha Group akan mengenal pasti beberapa rakan KLIC yang terdiri daripada entiti berkaitan kerajaan dan pelabur antarabangsa dalam masa tiga bulan.

Grove berkata demikian kepada wartawan The New Straits Times Press Bhd (NSTP) di luar Invest Malaysia 2018 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, KLIC akan memainkan peranan penting dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dilancarkan baru-baru ini yang menyaksikan kemunculan tokoh ikonik, Jack Ma dan Alibaba di Malaysia.

Grove memuji banyak syarikat Malaysia yang sudah berkembang menjadi perniagaan serantau seperti dibuktikan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd; syarikat platform panggilan kereta, Grab serta kumpulan perbankan CIMB Group dan Malayan Banking Bhd.

“Usahawan Malaysia dari hari pertama mempunyai wawasan yang tinggi, keyakinan dan keberanian untuk meneroka peringkat serantau; mereka memiliki aspirasi serantau,” katanya ketika ditanya bagaimana syarikat negara ini boleh memanfaatkan pengetahuan dan ekonomi digital.

“Kami mahu mentransformasi Lembah Klang menjadi Silicon Valley di Asia Tenggara dengan menjadikan KLIC mengikut model Silicon Valley yang terkenal di Amerika Syarikat (AS),” katanya.

DFTZ mempunyai dua aspek penting iaitu hab logistik serantau Alibaba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIC yang akan terletak di kawasan seluas 10 ekar di Bandar Malaysia.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 1:47am
d