bisnes

F&NHB tambah kapasiti kilang pengeluaran

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) memperuntukkan perbelanjaan modal RM25 juta bagi menambah kapasiti di kilang pengeluaran F&N Dairies Malaysia untuk memenuhi permintaan di pasaran eksport dan tempatan bagi tempoh tahun kewangan berakhir 30 September 2018.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Yew Hoe berkata, pelaburan itu bakal menyaksikan kapasiti tahunan kilang tenusu di Pulau Indah, Klang itu meningkat lima juta kotak daripada 16 juta kotak pada masa ini.

Menurutnya, pelaburan itu juga bermatlamat mengukuhkan dan menggiatkan eksport dari Malaysia serta memacu pertumbuhan domestik.

“Langkah ini dijangka mempergiat perniagaan eksport syarikat dalam usaha mencapai sasaran jualan eksport RM500 juta dari Malaysia lebih awal daripada masa ditetapkan iaitu menjelang 2020,” katanya pada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di sini, semalam.

Beliau berkata, penambahan kapasiti lima juta kotak itu juga bakal menjana pendapatan RM300 juta kepada syarikat apabila ia digunakan sepenuhnya kelak.

“Kami juga bercadang untuk mempertingkatkan kapasiti di kilang di Rojana dan Pakchong, Thailand dengan menyasarkan eksport berjumlah RM800 juta menjelang 2020 apabila operasi di Malaysia dan Thailand digabungkan,” katanya.

Pada masa ini, F&NHB memiliki lima kilang di Malaysia dan dua kilang di Thailand dengan syarikat itu kini menerokai pasaran eksport di 55 negara termasuk di Angola, Bahrain, India, Iraq, Mexico dan Yaman.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 12:36am
d