bisnes

Skuad Unifi jelajah negara

Oleh Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) menyasarkan tambahan 500,000 pengguna bagi perkhidmatan Unifi Home pada tahun ini dengan memperkenalkan kempen Skuad Sempurna Unifi ke lebih 100,000 lokasi di seluruh negara.

Naib Presiden Eksekutif Unifi Imri Mokhtar berkata, lebih 10,000 ahli skuad akan datang ke lokasi pengguna dan melengkapkan proses pengaktifan perkhidmatan itu.

“Kami mencatatkan lebih sejuta langganan dari 2010 hingga Jun tahun lalu. Tahun ini kami komited terus menaikkan jumlah langganan kepada 1.5 juta.

“Skuad ini akan meluaskan lagi jangkauan kami ke kawasan yang mempunyai banyak port Unifi sedia ada di seluruh negara.

“Ini sekali gus menjadipencapaian penting kepada TM yang juga peneraju perkhidmatan konvergens di negara ini,” katanya selepas majlis memperkenalkan wajah baru Unifi di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM Datuk Seri Shazalli Ramly serta Pengarah Eksekutif dan Timbalan CEO Kumpulan TM Datuk Bazlan Osman.

Imri berkata, bagi perkhidmatan Unifi WiFi, TM bakal menambah lokasi WiFi awam kepada 100,000 lokasi baru berbanding 10,000 lokasi ketika ini.

Katanya, ia bakal menambah lebih sejuta pengguna WiFi Unifi sebelum penghujung tahun ini.

Selain itu, Unifi Mobile (yang dulunya dikenali sebagai Webe) turut menawarkan produk terbarunya, #BEBAS yang membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan tanpa terikat dengan kontrak dan komitmen.

“Memecahkan norma mudah alih konvensional dan sepenuhnya pada digital, Unifi Mobile membolehkan pengguna menikmati sambungan tanpa gangguan pada bila-bila masa.

“#BEBAS bukanlah produk prabayar atau pascabayar, sebaliknya ia adalah hibrid yang memberi kebebasan kepada pelanggan memilih kemahuan dan keperluan penggunaan data Internet telefon tanpa kontrak dan komitmen,” katanya.

Sehubungan itu, sebanyak sejuta kad sim 20GB diberikan secara percuma dengan hanya perlu memuat turun aplikasi mobile@unifi di AppStore atau PlayStore.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 12:41am
d