bisnes

Rancang perluas tawaran khidmat tukaran wang asing

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) berhasrat untuk memperluaskan tawaran perkhidmatan tukaran wang asing melalui kad prabayar Visa, Merchantrade Money kepada 20 mata wang asing menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini, kad prabayar Visa yang baru dilancarkan itu hanya menawarkan lima mata wang iaitu dolar Australia, pound sterling, rupiah Indonesia, dolar Singapura dan dolar Amerika Syarikat (AS).

Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade Ramasamy K Veeran berkata, dalam tempoh tiga tahun bermula dari tahun ini, peneraju perniagaan perkhidmatan tukaran wang itu turut menyasarkan untuk menerima langganan kira-kira sejuta pemegang kad Merchantrade Money dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, pada 2018 pihaknya berharap dapat menarik 180,000 pemegang kad baru dengan jangkaan jumlah tambah nilai untuk Merchantrade Money mencecah sehingga RM300 juta.

“Keupayaan kad prabayar Visa ini untuk menukar mata wang ringgit Malaysia ke mata wang asing dengan memberikan fleksibiliti dan keselesaan kepada pelanggan dengan kadar tukaran yang sudah dikunci.

“Inisiatif ini memberi faedah dan kelebihan kepada pelanggan yang ingin memaksimumkan nilai mata wang serta memastikan tidak terjejas dengan kadar naik turun pertukaran mata wang asing,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kad Merchantrade Money di sini, semalam.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 12:32am
d