bisnes

Sasar kurang 15% transaksi cek, tunai

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: RHB Bank Berhad (RHB Bank) komited mengurangkan transaksi pembayaran cek serta tunai kira-kira 15 peratus tahun ini daripada 1.5 juta transaksi yang direkodkan.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Datuk Khairussaleh Ramli berkata, sejajar itu pihaknya memperkenalkan Kad MyDebit Korporat RHB.

Katanya, pengenalan Kad MyDebit Korporat RHB adalah inisiatif mengurangkan pembayaran cek serta tunai dalam kalangan agensi kerajaan.

“Antara pelanggan korporat yang disasarkan adalah pelanggan RHB Bank daripada agensi kerajaan iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“RHB Bank turut menyasarkan 15,000 daripada 300,000 pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendaftar menggunakan Kad MyDebit Korporat RHB ini,” katanya di majlis pelancaran Kad MyDebit Korporat RHB di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Bhd Datuk Adisaddikin Ali dan Pemangku Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Banking Group Nazri Othman.

Pelancaran Kad MyDebit Korporat RHB sejajar dengan sasaran Rangka Tindakan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) 2011-2020 untuk mengurangkan penggunaan cek kepada 100 juta menjelang 2020 daripada 205 juta cek pada 2011.

Sementara itu, Khairussalehberkata, RHB Bank mengumumkan kadar baru bagi BR, BLR dan BFR yang baru minggu hadapan.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 2:47am
d