bisnes

Rintis pengurusan trafik

Oleh Hazwan Faisal Mohamad dan Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Alibaba Cloud, cabang perkomputeran awan Alibaba Group melancarkan inisiatif Malaysia City Brain (MCB) dalam usaha memperkasakan pengurusan bandar raya di Malaysia.

Inisiatif dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyaksikan Malaysia sebagai negara pertama luar dari China yang melaksanakan program sedemikian.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood berkata, dalam fasa pertama inisiatif itu, bandar raya Kuala Lumpur akan mengguna pakai MCB dalam pengurusan trafik di dalam bandar.

Katanya, ia akan membabitkan pengumpulan data daripada 300 lampu isyarat dan 500 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar daerah pusat perniagaan (CBD) di Kuala Lumpur.

“Semua data ini akan dikumpul DBKL dan kemudian dihubungkan ke MCB untuk dianalisis. Hasilnya boleh digunakan untuk menguruskan trafik dengan lebih berkesan.

“Program perintis ini akan dilaksanakan sehingga Mei ini sebelum sama ada diperluaskan ke bandar lain atau menambah fungsi MCB seperti untuk pendidikan,” katanya selepas majlis pelancaran inisiatif itu di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Alibaba Cloud Simon Hu.

MCB adalah platform menggunakan program kecerdasan buatan (AI) dibangunkan Alibaba Cloud serta analisis data raya bagi menghasilkan ramalan trafik menggunakan video dan teknologi pengecaman imej.

Mengulas lanjut, Yasmin berkata, pelaksanaan inisiatif itu di Hangzhou, China sebelum ini berjaya mempercepatkan aliran trafik sebanyak 15 peratus di sesetengah kawasan di daerah itu selain mengurangkan kesesakan sehingga daerah itu berjaya keluar daripada senarai 10 bandar paling sesak di China.

“Kita berharap dengan pelaksanaan MCB ini mampu membawa kejayaan sama di Kuala Lumpur seperti mana yang dicapai di Hangzhou,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 2:51am
d