bisnes

Tambah kemudahan lokar Pos Laju EziBox

Oleh Nora Mahpar

Kuala Lumpur: Pos Malaysia Bhd dijangka akan menguruskan 110 kemudahan lokar Pos Laju EziBox di seluruh negara menjelang Mac nanti dalam usaha menambah baik perkhidmatan penghantaran barangannya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Azlan Shahrim berkata, ketika ini Pos Malaysia sudah memasang 85 kemudahan berkenaan di Lembah Klang dan akan memasang 50 lagi lokar berkenaan dalam tempoh dua bulan ini.

“Ketika ini lokasi Pos Laju EziBox tertumpu di kawasan Lembah Klang dan kami akan perluaskan capaian perkhidmatan ini ke lokasi yang mempunyai permintaan tinggi seperti di stesen minyak dan universiti.

“Kita sasarkan untuk memasang sekurang-kurangnya 50 lagi Pos Laju EziBox di seluruh negara menjadikan keseluruhan terdapat 160 lokasi di seluruh negara menjelang Mac 2019,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Pos Laju Speed Gold di sini, semalam.

Dalam usaha meningkatkan capaian perkhidmatannya, Azlan berkata, Pos Malaysia menyediakan lebih 1,000 touchpoint di seluruh negara bagi memenuhi industri e-dagang yang berkembang pesat.

“Kami akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memberikan perkhidmatan e-dagang yang lebih baik dengan mengutamakan akses yang cepat dan fleksibel kepada pelanggan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, segmen perkhidmatan kurier dijangka berkembang 20 peratus tahun ke tahun.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 12:03am
d