bisnes

Bawa pengalaman mewah

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics (Samsung) memperkenalkan gedung premium pertamanya, Samsung Premium Experience di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur untuk memberikan pelanggan pengalaman merasai siri Galaxy yang lebih mewah.

Pelancaran gedung serba premium itu memberi peluang kepada peminat jenama telefon pintar itu mendapatkan koleksi telefon pintar, tablet, aksesori serta servis gajet Samsung.

Ketua Teknologi Maklumat (IT) dan Perniagaan Mudah Alih Samsung KM Liew berkata, pembukaan gedung premium itu bukti komitmen syarikat serta sokongan pelanggan setia terhadap Samsung selama ini.

Katanya, pihaknya yakin dapat menarik pelanggan terutama pelancong, peminat teknologi dan pengguna yang mencari gajet berteknologi tinggi dengan pengalaman beli-belah luar biasa.

“Kami bangga menawarkan produk berkualiti dan berinovasi tinggi. Gedung ini bukti Samsung sentiasa menyediakan pengalaman beli-belah siri Galaxy yang premium dan canggih.

“Jika ada permintaan pelanggan, kami berhasrat membuka beberapa cawangan premium ini di bandar utama di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran gedung premium itu di sini, semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ibu Pejabat Asia Tenggara Samsung Lee Sang Chul, Presiden Samsung Malaysia Yoonson Kim, Ketua Jualan IT dan Perniagaan Mudah Alih Samsung Malaysia Hosea Heen dan Liew di Tingkat 1, Pavilion Kuala Lumpur.

Gedung yang berfungsi sebagai pusat sehenti siri Galaxy itu mempunyai keluasan 4,241 kaki persegi dan menawarkan servis selepas jualan dan mini kafe untuk pelanggan gedung.

Liew berkata, pihaknya berharap pelanggan menikmati suasana beli-belah bersama Samsung yang mengujakan dan khidmat servis oleh pegawai khidmat pelanggan gedung itu.

Antara aktiviti yang dapat dirasai sendiri pengunjung ialah stesen teknologi realiti maya (VR) yang menawarkan produk berkaitan VR seperti Gear VR serta telefon pintar Galaxy Note8.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 12:04am
d