bisnes

Buka 5 cawangan

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Trendcell Sdn Bhd (Trendcell), pengendali jenama pasar raya Jaya Grocer merancang membuka lima cawangan baru tahun ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pasar raya itu bertambah kepada 27 menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Operasinya Daniel Teng berkata, Jaya Grocer kini memiliki 21 cawangan pada hujung tahun lalu dan ia baru saja membuka cawangan ke-22 di Johor Bahru minggu lalu.

“Lima cawangan baru ini akan dibuka di Setia Alam Februari ini, Bangsar (Jun), Damansara Utama (Julai), Mont Kiara (September) dan Taman Melati (Disember),” katanya pada taklimat media sempena ulang tahun ke-10 Jaya Grocer di sini, semalam.

Beliau berkata, empat cawangan baru itu dibina pada keluasan purata 20,000 kaki persegi bagi setiap cawangan manakala cawangan di Bangsar memiliki keluasan terbesar iaitu 54,000 kaki persegi.

Menurutnya, syarikat bakal menampilkan konsep Bangsar Market by Jaya Grocer melalui cawangan di Kuala Lumpur Eco City (KLEC), Bangsar dengan menjadi peruncit barangan segar terbesar di negara ini kelak.

“Cawangan kami di tingkat dua KLEC Mall ini dijangka memberi pengalaman beli-belah asli kepada pembeli di bandar seperti yang sering dilihat di negara maju,” katanya.

Sementara itu, Jaya Grocer merancang meluaskan operasi khidmat penghantaran dalam taliannya kepada kawasan di sekitar Taman OUG di Jalan Klang Lama dan Puchong tahun ini.

Teng berkata, perniagaan dalam talian yang dimulakan akhir 2016 menunjukkan prestasi baik dengan mencatatkan pertumbuhan jualan 30 peratus tahun lalu.

“Kami jangka segmen ini terus berkembang melalui perluasan operasi di dua kawasan baru dan mampu mengekalkan angka pertumbuhan sama tahun ini,” katanya.

Pada masa ini, Jaya Grocer menawarkan perkhidmatan dalam talian di lima kawasan utama sekitar Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Subang Jaya, Shah Alam, Petaling Jaya dan Cyberjaya.

Jaya Grocer dikendalikan Trendcell iaitu syarikat dimiliki keluarga pengasas Teng yang memiliki pegangan 55 peratus manakala selebihnya Asean Industrial Growth Fund (AIGF). Cawangan pertamanya dibuka di Jaya 33, Petaling Jaya pada 2008.

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 1:02am
d