bisnes

Buka 3 hotel

Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Jenama hotel global, Hilton merancang membuka tiga lagi hotel di bawah jenama Hilton Garden Inn di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengurus Besar Serantau Hilton Malaysia Jamie Mead berkata, hotel terbabit menerima sambutan baik sejak hotel pertama dibuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman Disember tahun lalu.

“Kami akan membuka satu lagi Hilton Garden Inn 30 meter dari hotel pertama dan di Puchong pada suku ketiga tahun ini serta hotel keempat di Johor Bahru pada tahun depan,” katanya pada taklimat media mengenai Hilton Garden Inn di sini.

Mead berkata, pihaknya melihat jenama hotel itu akan terus mendapat sambutan positif dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa melalui tawaran nilai baik, lokasi strategik dan hospitaliti Hilton yang berkualiti.

“Kami yakin prospek pelancongan Malaysia berdasarkan perjalanan perniagaan dan percutian yang berkembang dalam kalangan pelancong Malaysia dan ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Operasi Hilton Asia Tenggara Paul Hutton berkata, pembukaan hotel terbabit melengkapkan portfolio jenamanya yang sedia ada dan ia adalah jenama ketiga Hilton di Malaysia.

Menurutnya, beliau berbangga Hilton Garden Inn bertapak di destinasi popular dunia dan terletak di lokasi strategik iaitu Chow Kit yang menggabungkan keunikan warisan lama dan baru.

“Saya gembira membina kerjasama yang berjaya dengan Royal Group Capital untuk membuka dan menguruskan hartanah Hilton kedua mereka,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 12:32am
d