bisnes

Kembang bakat tenaga pakar, profesional

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Malaysia terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi serta aliran pelaburan luar ke dalam negara sebagai usaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun, usaha berkenaan dilihat bakal mempunyai cabarannya tersendiri di mana antara penyumbang utamanya adalah sektor bakat seperti tenaga pakar dan profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest KL Corporation (Invest KL) Datuk Zainal Amanshah berkata, untuk bergerak ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi, cabang bakat adalah perkara utama untuk dilengkapkan.

Beliau berkata, ekonomi sedang berkembang maju ke arah sektor pendigital ketika ini menyebabkan segmen pekerjaan menjadi semakin berbeza dari sebelumnya.

“Ketika ini keperluan sesuatu industri dengan pekerjaan jurutera mungkin berlainan berbanding dahulu kerana kehendak pasaran yang memerlukan individu jurutera itu untuk menjadi lebih analitik.

“Selain itu, syarikat juga mempunyai keperluan untuk mengupah saintis data serta bakat yang boleh memberikan idea yang lebih kreatif dan memberi manfaat kepada organisasinya.

“Bakat perlu berevolusi dengan pantas dalam merealisasikan cita-cita negara serta berdepan dengan cabaran masa hadapan,” katanya ketika ditemui, di sini.

InvestKL ditubuhkan pada 2011 dan diberi mandat oleh kerajaan untuk menarik dan membantu pelaburan multinasional asing ke Greater KL/Lembah Klang dengan sasaran menarik 100 syarikat multinasional menjelang 2020.

Setakat ini entiti yang diberi tanggungjawab untuk mengubah Kuala Lumpur sebagai bandar raya moden dan berkembang pesat berjaya menarik 73 syarikat multinasional dengan kebanyakan mereka dari Eropah, Amerika Syarikat (AS), Asia Pasifik dan negara Teluk.

Malah, Kuala Lumpur juga sentiasa menjadi pilihan bagi pembukaan pusat sehenti global, hab prinsipal dan pusat kecemerlangan yang mana ia adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk mempromosikan pelaburan berkualiti tinggi.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 8:26am
d