bisnes

Honda lengkap fasa kedua perluas gudang komponen

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Honda Malaysia melengkapkan fasa kedua perluasan gudang komponennya di Shah Alam, membabitkan pelaburan bernilai RM11 juta.

Peluasan itu adalah bagi menampung permintaan selepas jualan yang meningkat selari dengan peningkatan jualan dan perkhidmatannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, pengembangan gudang komponen syarikat automotif itu yang kini berkeluasan 21,700 meter persegi bukan sahaja meningkatkan kapasiti ruangan simpanan, malah menambah baik pengendalian operasi dan mempercepatkan proses penghantaran kepada pihak pengedar dan pelanggan.

Beliau berkata, buat masa ini gudang itu menempatkan peralatan yang diperlukan 93 pengedar Honda di Malaysia.

“Gudang terbabit akan mempunyai keluasan 50,000 meter persegi dan bakal dibuka pada 2012. Pengembangan ini dilakukan berikutan jualan alat ganti meningkat sebanyak 32 peratus manakala permintaan terhadap kemudahan ketuk dan cat meningkat 48 peratus pada 2017 berbanding tahun sebelumnya.

“Honda Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan dan perkhidmatan yang memberangsangkan dalam tempoh empat tahun lalu dan ini menyebabkan permintaan terhadap alat gantian terus meningkat,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di sini.

Toichi berkata, fasa kedua pengembangan gudang alat gantian di Bukit Jelutong itu akan memperlihatkan penstrukturan baru terhadap penempatan stok, lokasi antara gudang dan mengoptimumkan ruang untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti.

Menurutnya, ruang itu termasuk menempatkan barangan yang sering mendapat permintaan di kawasan berhampiran untuk mengurangkan masa perjalanan sekali gus menghasilkan kerja yang lebih efisien.

Selain itu, beliau berkata, Honda Malaysia turut melaksanakan penghantaran menggunakan motosikal untuk alat gantian bersaiz kecil.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 8:32am
d