bisnes

Agih insentif RM9j

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan usaha penjenamaan bersama Visa dan Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) iaitu Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC Peteh Terengganu Peteh.

Pelancaran kad debit terbaru itu adalah usaha penjenamaan bersama yang ketujuh antara Bank Islam dan Visa serta persatuan bolasepak selepas kerjasama pertama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disusuli Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA), Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Melaka United Soccer (MUSA).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Khairul Kamarudin berkata, penjenamaan bersama itu inisiatif Bank Islam memberikan sokongan padu kepada sukan bola sepak negara.

Beliau berkata, sepanjang 2016 dan 2017, Bank Islam mengagihkan insentif melalui penjenamaan bersama berjumlah lebih RM9 juta kepada pasukan bola sepak tanah air.

“Kami menjangka jumlah ini akan meningkat melalui inisiatif serupa dengan beberapa pasukan bola sepak lain tahun ini termasuk dengan pelancaran Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC Peteh Terengganu Peteh.

“Bank Islam mengeluarkan lebih 700,000 kad penjenamaan bersama dengan pasukan bola sepak dalam negara sepanjang 2016 dan 2017.

“Dengan sambutan memberangsangkan ini, kami berharap ia membantu pembangunan sukan bola sepak tempatan,” katanya di sini, semalam.

Majlis pelancaran kad debit itu disempurnakan Khairul bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang juga Timbalan Presiden TFC.

Kad ini menawarkan pelbagai manfaat kepada pemegang dan sebahagian fi tahunan kad ini akan dimanfaatkan TFC sebagai sumbangan daripada bank dan pemegang kad kepada pembangunan pasukan bola sepak.

Sempena pelancaran itu, Bank Islam turut memperkenalkan Kempen Kad Debit-i Bank Islam Visa Terengganu FC Peteh Terengganu Peteh yang dicipta khas untuk pemegang kad berkenaan.

Wan Nawawi berkata, dengan kerjasama Bank Islam, penyokong bola sepak Terengganu dapat menikmati pelbagai manfaat daripada kad debit-i di samping menyumbang kepada pembangunan pasukan negeri.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 9:34am
d