bisnes

Permohonan 2,297 usahawan lulus

Oleh BERNAMA

Bachok: SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia) meluluskan 2,297 permohonan usahawan Bumiputera yang berminat menyertai Program Pembangunan Enterprise Bumiputera (BEEP) diperkenalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak 2009.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, agensi berkenaan memperuntukkan RM190 juta sejak program itu dilancarkan sembilan tahun lalu.

Katanya, program berkenaan penting kerana dapat memberi peluang kepada usahawan negara ini untuk mendapat geran pensijilan dan peruntukan, sekali gus dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Setakat ini, Terengganu negeri paling tinggi menerima peruntukan geran BEEP berjumlah RM28.9 juta membabitkan 246 usahawan, diikuti Melaka (RM23.85 juta, 347 usahawan), Pulau Pinang (RM18.08 juta, 157 usahawan).

“Negeri Sembilan (RM14.58 juta, 151 usahawan) dan Kelantan (RM12.75 juta, 109 usahawan),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke syarikat Tanjung Pauh Group di Beris Kubor Besar di sini.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 12:38am
d