bisnes

Bida ladang solar RM1.5b

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Gading Kencana Development Sdn Bhd (Gading Kencana), pemain utama industri solar negara berhasrat menembusi pasaran tiga negara bagi membangunkan projek ladang solar bernilai RM1.5 bilion pada 2019.

Pengarah Urusan Gading Kencana Datuk Muhammad Guntor Mansor Tobeng berkata, tiga negara terbabit ialah Arab Saudi, Kemboja dan Indonesia yang dilihat sebagai pasaran baru untuk diteroka dalam mengukuhkan kehadiran di peringkat global.

Beliau berkata, pihaknya masih di peringkat bidaan dan perlu bersaing dengan 200 syarikat solar global lain sebelum dimuktamadkan pada 2019.

“Keseluruhan projek ladang solar untuk tiga negara itu berjumlah 290 megawatt (MW) iaitu 250 MW bagi Arab Saudi manakala Kemboja dan Indonesia masing-masing 10MW dan 30MW.

“Kami optimis melaksanakan projek itu memandangkan ia dijalankan dengan kerjasama syarikat tempatan negara terbabit, sekali gus melicinkan urusan serta operasi ladang solar,” katanya.

Gading Kencana mempunyai projek ladang solar dalam negara iaitu di Ayer Keroh, Melaka iaitu ladang paling cekap di dunia yang mampu mengeluarkan 1 MW dalam setiap 1.5 ekar, berbanding piawaian dunia 1 MW dalam setiap lima ekar.

Syarikat itu juga kini membina Projek Solar Photovoltaic Berskala Besar (LSSPV) 30 MW dengan kos keseluruhan RM214 juta di Bidor, Perak yang dijangka siap 28 Mei depan.

Muhammad Guntor berkata, teknologi hijau adalah trend yang akan mengambil alih dunia perniagaan pada masa akan datang disebabkan perubahan iklim global yang tidak menentu kini.

“Solar adalah teknologi mapan kerana ia menggunakan cahaya matahari dan memudahkan penggunaannya di samping memberi manfaat dalam menjana tenaga boleh diperbaharui.

“Seperti projek ladang solar yang dilaksanakan, ia menjadi lebih mudah apabila ladang ini berada berhampiran dengan talian gred serta pencawang masuk utama (PMU) sebelum disalur dan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya.

Menurutnya, inisiatif dalam bidang itu sejajar hasrat negara mencapai sasaran 2,080 MW pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2020 di bawah Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pelan Tindakan.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 2:07am
d