bisnes

Pelancong Malaysia ke Jepun naik 11.5%

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Jepun mengiktiraf Malaysia sebagai pasaran pelancongan penting bersandarkan pertumbuhan jumlah pelancong dari Malaysia ke negara itu tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Organisasi Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) Pejabat Kuala Lumpur Chiemi Maruyama berkata, jumlah rakyat negara ini melancong ke negara matahari terbit itu meningkat sehingga 11.5 peratus atau 439,500 pelawat tahun lalu berbanding 394,268 tahun sebelumnya.

Beliau berkata, Jepun terus menjadi pilihan utama penduduk Malaysia melancong kerana negara itu mula menawarkan pilihan produk pelancongan yang pelbagai khususnya mesra Muslim.

“Kami mempunyai empat musim berbeza sepanjang tahun seperti musim bunga, panas, luruh dan sejuk memberikan pilihan bagi pelancong ke Jepun. Setiap musim mempunyai tarikan dan destinasi ber beza untuk dikunjungi.

‘’Sejak Jepun memansuhkan penggunaan visa bagi pelancong Malaysia ke negara itu sejak 2013, jumlah pelawat melonjak dan tahun lalu kami membuka pejabat di Kuala Lumpur sebagai pusat sehenti untuk menyediakan maklumat kepada bakal pelawat,’’ katanya pada sidang media Pameran MATTA Mac 2018 di sini, semalam.

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dalam majlis sama mengumumkan Jepun sebagai Destinasi Pilihan Asia bagi pamerannya yang akan berlangsung 16 hingga 18 Mac depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Maruyama berkata, pihaknya menyasarkan kemasukan pelancong ke negara itu mencecah 40 juta dengan transaksi sehingga 8 trilion yen (RM291.81 bilion) menjelang 2020.

‘’Bergerak ke depan, kami mempunyai perancangan meningkatkan jumlah itu sehingga mencecah 60 juta pelancong yang dijangka berbelanja 15 trilion yen (RM547.11 bilion) dalam tempoh 13 tahun iaitu menjelang 2030.

‘’JNTO terus menjalankan promosi di Malaysia yang menjadi pasaran penting kepada Jepun ketika ini,’’ katanya.

Mengenai pameran itu, katanya, ada 23 pempamer akan menyertainya yang menampilkan hiasan kebudayaan Jepun iaitu Wagasa, permainan popular Kendama, makanan tradisi serta promosi pakej pelancongan.

Disiarkan pada: February 23, 2018 @ 4:35am
d