bisnes

Terima pelabur baru

Oleh Mohd Razlan Salleh

Kuala Lumpur: Selaras Dasar Automotif Negara (NAP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini bagi membentuk industri permotoran tempatan terus berkembang, ia menarik minat beberapa syarikat gergasi automotif global untuk melabur.

Tenaga kerja yang ramai, inisiatif menarik kerajaan, faktor geografi strategik dan pasaran besar menjadi daya tarikan untuk melebarkan sayap di Asia.

Selepas DRB-Hicom Bhd melalui PROTON Holdings Berhad (PHD) memeterai perjanjian bersama Zhejiang Geely Holdings Group, tahun ini bakal menyaksikan satu lagi pemain automotif global mengembangkan empayar perniagaannya dengan melabur dalam sektor automotif tempatan.

Kerjasama yang diibarat serampang dua mata ini selari dengan dasar kerajaan menjadikan pasaran industri permotoran ke peringkat lebih tinggi selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Perkara ini sejajar saranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengakui industri automotif penting kepada negara berdasarkan mobiliti, data besar, kenderaan generasi baru dan gaya hidup.

Mustapa berkata, sektor automotif membabitkan lebih 700,000 pekerja daripada keseluruhan 15 juta pekerja selain menyumbang empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu.

Beliau berkata, selaras dengan NAP 2018, kerajaan berjaya menarik pelaburan RM3.99 bilion dan pemasangan tempatan mencecah RM15 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2022.

“Kerajaan menggalakkan syarikat tempatan menjalin kerjasama strategik dengan penyedia teknologi utama dunia sebagai langkah menjadikan mereka sebahagian sistem automotif global.

“Menerusi NAP 2014, industri automotif negara berjaya mencatat kadar penembusan kenderaan cekap tenaga (EEV) kepada 52 peratus tahun lalu, meningkat daripada 42.8 peratus pada 2016,” katanya.

Terdahulu, NAP diperkenalkan pada 2014 menekankan tiga aspek iaitu pengurangan karbon emisi, keselamatan dan cekap tenaga.

Sumber Harian Metro berkata, gergasi automotif global itu bakal menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan dalam sektor pembuatan untuk beberapa model terbaru mereka.

Secara tidak langsung, kerjasama berkenaan membolehkan model keluaran mereka dijual pada harga kompetetif dan bersaing dengan jenama lain.

Pada masa sama, usaha sama ini membolehkan syarikat tempatan terutama Bumiputera meluaskan empayar perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa termasuk pengedar, pembekal dan rakan kongsi.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 1:44am
d