bisnes

Cyberjaya perintis

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Cyberjaya bakal menjadi bandar pertama menikmati rangkaian mudah alih generasi kelima atau 5G yang 100 kali lebih laju daripada 4G.

Teknologi 5G mula dilancarkan buat kali pertama di Sukan Musim Sejuk Olimpik di PyeongChang, Korea Selatan yang bermula pada 9 Februari lalu.

Ia adalah rentetan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Cyberview Sdn Bhd dengan SK Holdings Co Ltd dan SK Telecom Co Ltd di mana Cyberjaya akan dibangunkan sebagai Bandar Pintar Lautan Biru pertama di Malaysia yang antaranya akan dilengkapi kemudahan 5G.

SK Holdings dan SK Telecom masing-masing adalah anak syarikat SK Group, konglomerat kedua terbesar di Korea Selatan dari segi saiz pasaran permodalan dan turut tersenarai dalam Fortune 100.

Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom Park Jung Ho berkata, pihaknya berhasrat untuk menguji teknologi 5G di negara ini di Cyberjaya serentak dengan yang akan dilakukan syarikat itu di negaranya pada akhir tahun ini.

Justeru, beliau berharap dapat bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi sedia ada di Malaysia dalam mencapai sasaran itu.

“(Kami berharap) kerajaan (Malaysia) dapat menyediakan spektrum untuk 5G kerana untuk kami melancarkan teknologi ini, kami memerlukan peralatan dan infrastruktur yang sesuai.

“Kami menjangkakan untuk menguji 5G di Korea Selatan pada akhir tahun ini dan berharap dapat melakukannya serentak di Malaysia.

“Ini kerana anda (kerajaan) menyediakan persekitaran lebih terbuka terutama dari segi undang-undang (untuk teknologi ini),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media majlis pertukaran MoU antara kerajaan Malaysia dan SK Group serta antara Cyberview dengan SK Holdings dan SK Telecom yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 1:49am
d