bisnes

Pakatan strategik [METROTV]

Oleh Zarina Zakariah

Putrajaya: Groupe PSA, syarikat automotif terkemuka dari Perancis memuktamadkan pengambilalihan 56 peratus kepentingan dalam operasi perniagaan kilang Pembuatan Automotif Naza (NAM) milik Naza Corporation Holdings (Naza Group) di Gurun, Kedah.

Pengambilalihan kepentingan majoriti dalam operasi NAM itu tidak hanya memberi impak kepada pasaran automotif tempatan termasuk modal pembangunan insan dan harga jenama berkaitan bakal menjadi semakin kompetitif, malah ia menjadikan Malaysia hab pengeluaran kenderaan jenama Peugeot dan Citroen di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Group Datuk Samson Anand George berkata, pengambilalihan itu hanya membabitkan operasi di NAM dan tidak membabitkan aset lain termasuk tanah milik konglomerat automotif terkemuka negara itu di Gurun.

“Groupe PSA akan menjadi rakan kongsi Naza Group dalam pengeluaran kereta di bawah jenama milik syarikat Perancis ini.

“Saya percaya Groupe PSA akan menambah pelaburan di NAM termasuk dari segi kepakaran serta modal insan. Pakatan strategik ini membolehkan Naza Group meneroka pasaran ASEAN yang menawarkan ruang lebih luas untuk kami berkembang,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli kepentingan NAM dan usaha sama antara Naza Group dan Groupe PSA di sini, semalam.

Pada majlis itu, Naza Group diwakili Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya SM Nasarudin SM Nasimuddin manakala Groupe PSA pula oleh Naib Presiden Eksekutif (China dan Asia Tenggara) Carlos Gomes.

Majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua konglomerat itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada satu majlis ringkas berlangsung di Pejabat Perdana Menteri.

Pakatan strategik Groupe PSA dan Naza Group adalah perjanjian kedua terbesar dalam sektor automotif negara selepas DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom), pemilik sepenuhnya Proton Holdings Bhd (PROTON) menandatangani perjanjian muktamad dengan Kumpulan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Untuk pasaran tempatan, Samson berkata, Naza Group menjangkakan hasil kerjasama itu bakal memacu pertumbuhan jualan Peugeot dan Citroen kepada 3,600 unit mewakili penguasaan sekitar 10 peratus pasaran bagi segmen kenderaan Eropah tahun ini.

“Tahun lalu, kita menjual kurang 2,000 unit untuk kedua-dua jenama ini dengan penguasaan pasaran sekitar lima hingga enam peratus. Justeru muktamadnya perjanjian ini, ia mengukuhkan kedudukan jualan kami pada masa depan.

“Harga bagi kereta Peugeot dan Citroen akan menjadi lebih kompetitif selepas pengambilalihan kepentingan majoriti operasi NAM,” katanya.

Melalui perjanjian berkenaan, NAM akan menjadi hab eksport di rantau ini dengan anggaran jumlah pengeluaran 18,000 unit pada 2019 dan 21,000 unit pada 2020.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 4:49am
d