bisnes

Sasar jualan hartanah RM1.2b

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Kuala Lumpur: Pemaju hartanah UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) menyasarkan jualan projek pembangunan hartanah RM1.2 bilion tahun ini.

Sasaran itu bakal diperoleh menerusi pelancaran beberapa projek pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM1 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada produk bagi pasaran pertengahan tahun ini.

Katanya, UEM Sunrise merancang melancarkan apartmen kediaman di bawah projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dikenali sebagai Kondominium Kiara Kasih hujung Mac ini.

“Selain itu, fasa baru projek pembangunan Serene Heights Bangi juga akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

“Kami sedia maklum mengenai cabaran yang bakal dihadapi, namun kekal positif dan terus memanfaatkan strategi penting syarikat untuk tempoh 12 hingga 18 bulan berikutnya.

“Kami akan terus mencari peluang memiliki tanah sesuai bagi pembangunan perbandaran bersepadu di sekitar Lembah Klang,” katanya selepas mengumumkan prestasi kewangan syarikat bagi tahun 2017 di Kuala Lumpur.

UEM Sunrise Bhd mencatat peningkatan pendapatan 58 peratus kepada RM2.9 bilion pada tahun kewangan 2017 berbanding RM1.8 bilion tahun sebelumnya.

Prestasi itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan sejak penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia.

Pemaju hartanah itu mencatatkan keuntungan selepas cukai hampir sekali ganda pada tahun dikaji iaitu RM280 juta daripada RM147.3 juta pada 2016.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pihaknya mempertimbangkan penjualan beberapa pemilikan tanah di Johor selaras strategi untuk mengimbangi portfolio pemilikan tanah syarikat berkenaan.

“Kami kini memiliki tanah lebih 4.047 hektar di Johor dan akan menggunakan hasil jualan bagi pemilikan tanah di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2018 @ 2:07am
d