bisnes

Kekal kedudukan teratas di Asia Tenggara

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Gergasi telefon pintar Korea Selatan, Samsung mengekalkan kedudukan teratas dalam penghantaran telefon pintar ke pasaran baru muncul di Asia Tenggara tahun lalu.

Menurut International Data Corporation (IDC), pasaran baru muncul di rantau ini terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.

IDC dalam kenyataan berkata, jumlah penghantaran Samsung meningkat 25.8 peratus kepada 29.3 juta unit pada 2017 diikuti OPPO (naik 29.3 peratus kepada 17.2 juta), Vivo (118.2 peratus lebih tinggi kepada 7.2 juta) dan Huawei (naik 3.8 peratus peratus kepada 5.4 juta).

Apple di tempat kelima, adalah satu-satunya pengeluar telefon pintar di lima tempat teratas yang mencatatkan penurunan dalam jumlah penghantaran, merosot 2.2 peratus kepada 4.5 juta unit berbanding 4.6 juta unit pada 2016.

IDC berkata, Samsung menguasai pasaran terbesar pada 29.1 peratus, diikuti OPPO (17 peratus), Vivo (7.2 peratus), Huawei (5.4 peratus) dan Apple (4.4 peratus).

Sementara itu, IDC berkata, keseluruhan penghantaran telefon pintar di rantau Asia Tenggara yang baru muncul merosot sedikit sebanyak 0.6 peratus tahun lepas kepada 101.3 juta unit, berikutan pengurangan ketara penghantaran vendor di Myanmar dan Filipina.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 8:15am
d