bisnes

CIMB lulus penuh pinjaman 1 minit

Oleh Nora Mahpar

Kuala Lumpur: CIMB Bank Bhd menawarkan pembiayaan yang boleh diselesaikan dalam tempoh seminit melalui Pembiayaan Kediaman 1 Minit CIMB, yang juga sebahagian daripada platform digital InstaApproval bank berkenaan.

Skim berkenaan menawarkan kelulusan penuh dengan hanya satu minit selepas menghantar maklumat dan dokumen lengkap, sekali gus mempercepatkan proses permohonan untuk memiliki rumah idaman.

Dengan kemudahan platform digital itu, perjalanan memiliki kediaman lebih mudah menerusi proses kelulusan segera dengan ‘Surat Tawaran’ rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pelanggan Kumpulan, Samir Gupta berkata, matlamat kumpulan adalah untuk menjadi peneraju bank universal di rantau ASEAN dengan memanfaatkan teknologi digital sejak 2015.

“InstaApproval CIMB adalah janji kami untuk menawarkan pelanggan bukan saja perkhidmatan dan produk kewangan yang terbaik tetapi kepantasan dalam penerimaan.

“Platform ini bukan saja selamat, malah mengurangkan penggunaan kertas, selain pengenalan cap jari biometrik dan langkah-langkah keselamatan semuanya dilakukan dalam talian,” katanya pada majlis pelancaran Pembiayaan Kediaman 1 Minit CIMB di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Samir berkata, ketika ini sebanyak lapan pemaju menyertai skim Pembiayaan Kediaman 1 Minit CIMB membabitkan 60 projek kediaman.

Pemaju berkenaan adalah Eco World Development Group Bhd, IJM Land Bhd, IOI Properties Group Bhd, Mah Sing Group Bhd, Sime Darby Property Bhd, SP Setia Bhd, Tropicana Corporation Bhd dan UEM Sunrise Bhd.

“Lebih banyak pemaju dan projek perumahan akan ditambah ke dalam platform ini pada masa akan datang,” katanya.

Selain Pembiayaan Kediaman 1 Minit, InstaApproval CIMB turut menawarkan pembiayaan peribadi, pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan kad kredit.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 5:46am
d