bisnes

Labur RM100 juta

Oleh Shafawati Wahid

Seoul: Pengeluar penapis air terkenal, Cuckoo International Malaysia Sdn Bhd bakal membuka kilang di Malaysia tahun hadapan sebagai tambahan kepada dua kilang sedia ada.

Pada masa ini, ia mempunyai dua kilang yang terletak di Yangsan dan Siheung, Korea Selatan dengan jumlah kapasiti pengeluaran lebih 4.5 juta set setahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hoe Kian Choon berkata, kilang pertama Cuckoo di rantau Asia itu akan dibina di Pelabuhan Klang, Selangor dengan kos RM100 juta.

Hoe berkata, keputusan ini diambil bagi menampung jualan produk yang semakin meningkat di rantau ini termasuk periuk serba guna dan penapis udara Cuckoo.

“Ia juga bertujuan untuk memberi balik kepada rakyat Malaysia yang menyokong produk itu,” katanya dalam temu bual ketika lawatan media ke Korea Selatan dari 4 hingga 10 Mac sempena ulang tahun ke-40 produk kelengkapan rumah terkemuka itu.

Hoe berkata, pihaknya berjaya merekodkan 300,000 pelanggan dalam jangka masa tiga tahun sejak penubuhan Cuckoo Malaysia pada 2014 sehingga Februari tahun ini.

Jumlah itu dijangka meningkat kepada 600,000 pelanggan menjelang hujung tahun ini dengan unjuran jualan mencecah RM500 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Korea Selatan Brian Koo Bon Hak mengumumkan sasaran AS$1.5 bilion (RM5.9 bilion) pendapatan global bagi tahun 2018.

Malah, Cuckoo turut optimis untuk mempertingkatkan kehadirannya dan pengembangan jenama di pasaran luar negara.

Brian berkata, antara strategi jangka masa panjang adalah mengembangkan sayap ke Vietnam, India dan Indonesia pada tahun ini.

“Hasil jualan pendapatan eksport dijangka memberikan pulangan tahunan sebanyak AS$150 juta (RM587 juta) bagi tahun ini dan pulangan tahunan AS$1 bilion (RM3.9 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sambutan ulang tahun Cuckoo yang ke-40 diadakan di Seoul Dragon City dan dihadiri 526 peserta termasuk kakitangan Cuckoo Malaysia serta wakil media dari Korea Selatan, Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Majlis sama turut menyaksikan Cuckoo melancarkan aplikasi telefon pintar Cuckoo+ yang membolehkan pengguna menetapkan temu janji dengan pasukan Cuckoo’s Natural Care Service (NCS) bagi menikmati penyelenggaraan profesional setiap masa.

Disiarkan pada: March 12, 2018 @ 8:53am
d