bisnes

Landasan tepat

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Nama Malaysia terus dikenali di persada dunia menerusi karya animasi tempatan seperti Didi & Friends, Upin & Ipin dan Ejen Ali yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan eksport kandungan kreatif negara.

Industri yang semakin mendapat tempat dalam kalangan kira-kira lebih 100 penggiat industri animasi itu juga merekodkan perolehan lebih daripada RM200 juta dengan kadar pertumbuhan sehingga 18 peratus dari 2013 hingga 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, industri berkenaan menjadi semakin kukuh apabila mencapai nilai eksport lebih RM120 juta pada kadar perkembangan 37 peratus sejak 2013.

Beliau berkata, kejayaan terbabit kebanyakannya disumbangkan produk animasi dan harta intelek tempatan yang semakin dikenali dan menjadi buah mulut peminatnya di peringkat antarabangsa.

“Keupayaan bakat tempatan terus diiktiraf dengan lebih banyak projek berkualiti dianugerahkan kepada syarikat tempatan di samping studio produksi antarabangsa yang berhasrat bekerjasama dengan penggiat animasi tempatan.

“Kejayaan industri animasi ini terbukti apabila kesannya dapat dilihat dengn lebih daripada 2,200 peluang pekerjaan diwujudkan merentasi bidang ini,” katanya kepada wartawan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), di sini.

Yasmin berkata, jenama animasi Malaysia seperti Animonsta Studios, Digital Durian dan Les’ Copaque terus menyinar di peringkat global dan ia memberi landskap baru kepada kemunculan produksi animasi baru seperti Inspidea, Animasi, Giggle Garage dan Little Critters.

“Sehingga kini, kita sedang berusaha untuk memudahkan pengembangan dan keupayaan eksport syarikat animasi yang baru muncul kerana potensinya yang mampu memberi pulangan kepada negara dan industri.

“Malah, MDEC turut menyediakan pelbagai platform bersama-sama dengan rakan kongsi untuk membolehkan syarikat animasi mendapat peluang dalam hal eksport perkhidmatan dan harta intelek mereka,” katanya.

Baru-baru ini, pada Sidang Kemuncak KidsCreen 2018 yang diadakan di Miami menyaksikan beberapa projek daripada syarikat animasi dari Malaysia terpilih oleh beberapa penyiar stesen televisyen dan penyiar global.

Selain itu, tahun lalu, pada Sidang Kemuncak Animasi Asia 2017 di Brisbane, Malaysia mempunyai enam harta intelek animasi yang ditonjolkan pada sesi pitching bersama penyiar antarabangsa yang mendapat maklum balas baik daripada Disney, Netflix dan Cartoon Network.

Menurutnya, maklum balas positif itu adalah bukti syarikat animasi tempatan kini lebih matang dan berjaya menarik perhatian penyiar antarabangsa ketika sesi perbentangan idea.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 1:29am
d