bisnes

Syarikat antarabangsa bakal sertai DFTZ

Oleh Ooi Tee Ching

Kuala Lumpur: Kerajaan dalam proses akhir memuktamadkan perbincangan dengan beberapa pemain e-dagang antarabangsa untuk menyertai Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia (DFTZ).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Chua Tee Yong berkata, DFTZ adalah milik kerajaan dan bukan khusus untuk gergasi e-dagang China, Alibaba Group.

“Kerajaan sedang mencari pelabur berkelayakan yang mempunyai rangkaian kewangan dan logistik yang cekap untuk menyertai DFTZ,” katanya.

Ditanya jika gergasi e-dagang Amerika, Amazon.com antara nama besar yang berminat untuk mengambil bahagian dalam DFTZ Malaysia, Chua enggan mengesahkan atau menafikan kecuali mengatakan kerajaan akan membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang berkata, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggalakkan ahlinya supaya melakukan inovasi dan automasi untuk kecekapan peringkat tinggi dalam kalangan kakitangannya.

“Dengan berbuat demikian, ahli kami dapat mengurangkan pengambilan pekerja asing mereka.

“Pada masa yang sama, majikan perlu meningkatkan kecekapan kakitangan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Perniagaan Platinum Persatuan PKS 2018 di sini, semalam.

Sehingga kini, Malaysia mempunyai lebih 900,000 PKS yang mewakili hampir 99 peratus daripada jumlah syarikat di negara ini.

Menurutnya, beliau yakin sumbangan PKS kepada ekonomi boleh diperkasa dengan akses yang lebih baik terhadap latihan.

Beliau berharap untuk memperluaskan peluang latihan kepada lebih banyak PKS dengan pengembangan Akta Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) yang akan berkuat kuasa pada 1 April ini.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 1:14am
d