bisnes

Tawar laluan ke Berlin

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Scoot, syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh berpangkalan di Singapura mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan menawarkan penerbangan sambungan ke Berlin, Jerman pada harga serendah RM1,807, dua hala termasuk cukai.

Perkhidmatan empat kali seminggu itu berlepas dari Singapura dengan penerbangan TR734 menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner yang menawarkan perkhidmatan WiFi dan hiburan ScootTV dalam pesawat.

Ketua Pegawai Komersial Scoot, Vinod Kannan berkata, Scoot optimis memenuhi permintaan pasaran Malaysia dengan menawarkan laluan penerbangan jarak jauh yang baru di Eropah selepas Athens tahun lalu.

“Dengan laluan baru ini, Scoot menjadi satu-satunya syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh yang memperkenalkan penerbangan tanpa henti menghubungkan Asia Tenggara dan Jerman.

“Malah, dengan pengenalan destinasi terbaru Scoot di Kuching dan Kuantan di negara ini, ia membuktikan Malaysia kekal pasaran penting dalam menjana pertumbuhan operasi di rantau ini.

“Kami berhasrat menawarkan lebih banyak laluan baru di samping perkhidmatan dalam pesawat yang ceria dan unik yang mencerminkan jenama, inovasi serta kakitangan Scoot,” katanya pada majlis pelancaran laluan baru Scoot ke Berlin, di sini, semalam.

Bagi destinasi baru ke Berlin, Scoot turut menawarkan kelas ScootBiz yang menyediakan tempat duduk premium dan percuma bagasi daftar masuk 30 kilogram termasuk makanan dan minuman serendah RM6,204 dua hala.

Mengenai pertumbuhan perniagaannya di Malaysia, beliau berkata, dengan dua tambahan destinasi baru itu, Scoot kini mempunyai enam destinasi di negara ini dengan pesawat A320 dengan kekerapan sehingga 59 penerbangan seminggu.

Menurutnya, dengan pelan memperluas rangkaiannya, pelanggan Scoot mempunyai pilihan yang lebih banyak penerbangan sambungan melalui Singapura untuk ke destinasi jarak sederhana dan jauh seperti Australia, China, Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: March 23, 2018 @ 1:16am
d